Cuaca Panas & Kesihatan

Cuaca panas dan kering adalah fenomena yang biasa di kawasan tropika seperti Malaysia.

Suka atau tidak kehidupan kita dipengaruhi oleh keadaan cuaca harian.

Cuaca panas dan kering adalah fenomena yang biasa di kawasan tropika seperti Malaysia.

Pendedahan kepada cuaca panas adalah salah satu penyebab yang menyumbang kepada peningkatan kedatangan pesakit ke klinik,
bilangan kemasukan ke hospital dan malahan kematian dari sesuatu penyakit tertentu terutamanya di kalangan kumpulan yang berisiko tinggi.

Kesan Kesihatan akibat dari Pendedahan kepada Cuaca Panas

Apakah kesan kesihatan berkaitan dengan panas?

Cuaca panas adalah tekanan fizikal kepada badan manusia. Kesan kesihatan adalah berbagai dari sederhana (mild) kepada teruk seperti
strok haba, yang boleh menyebabkan maut.

Masalah berkaitan kesihatan boleh terjadi di berbagai tahap suhu disebabkan oleh;

  • Pakaian yang pelbagai jenis, keadaan pekerjaan, aktiviti fizikal dan beban kerja.
  • Kumpulan umur
  • Kecergasan individu

Kesan kesihatan berkaitan cuaca panas termasuk;

  • Keletihan/kelesuan akibat dari panas (heat fatigue)
  • Pitam/pengsan akibat dari panas (heat syncope)
  • Kekejangan akibat dari panas (heat cramps)
  • Keletihan/kepenatan akibat dari panas (heat exhaustion)
  • Strok akibat dari panas (heat stroke)

Tanda dan gejala kesihatan berkaitan dengan panas

Bagaimanakah saya mengetahui yang saya menghadapi masalah kesihatan berkaitan dengan panas?

Tanda-tanda dan gejala masalah kesihatan berkaitan panas adalah pelbagai bergantung kepada keterukan keadaan sesuatu masalah itu.
Gejala-gejala biasa termasuk;

  • Sakit kepala
  • Keletihan
  • Tumpuan lemah
  • Pening
  • Lemah otot–otot badan atau kekejangan
  • Mual dan muntah

Keadaan yang terlalu teruk boleh menyebabkan dehidrasi (kekeringan), kekeliruan, dan koma (tidak sedarkan diri).

Komplikasi (kerumitan)

Apakah keadan yang paling teruk boleh berlaku disebabkan masalah berkaitan panas?

  • Strok panas boleh menyebabkan maut
  • Kerosakan organ badan seperti ginjal, otak, jantung dan hati

Kumpulan Berisiko

Siapakah yang berisiko menghadapi masalah kesihatan berkaitan panas?

Semua orang adalah berisiko menghadapi masalah kesihatan berkaitan dengan panas. Walau bagaimanapun, kumpulan tertentu adalah
lebih berisiko untuk menghadapi kesan kesihatan. Kumpulan ini termasuk;

  • Mereka yang terbabit dengan kegiatan aktiviti fizikal seperti buruh, peladang, ahli sukan, tentera, dan lain-lain.
  • Orang dewasa (orang yang berumur 40 tahun keatas adalah 10 kali ganda lebih berisiko berbanding dengan orang yang lebih muda).
  • Kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah
  • Mereka yang menghidapi masalah pernafasan dan jantung
  • Mereka yang menghidapi penyakit darah tinggi, kencing manis dan penyakit kelenjar tiroid.

Risiko bertambah jika mereka memakai pakaian yang tebal dan ketat, yang menghalang panas keluar dari penyejatan/pengeringan peluh.

Pencegahan

Bagaimanakah saya boleh mencegah atau mengurangkan kesan kesihatan akibat daripada cuaca panas?

“Mencegah adalah baik daripada mengubati”. Terutamanya untuk mereka yang di klasifikasikan dalam kumpulan yang berisiko tinggi,
mereka adalah dinasihatkan untuk berhati-hati dengan kemungkinan tersebut.

Di bawah adalah tip–tip pencegahan:

Perlu

  • Minum dengan banyak, tanpa mengira tahap aktiviti anda. Jangan tunggu hingga anda dahaga.
  • Minum minuman isotonik kerana ia boleh menggantikan garam dan mineral yang hilang semasa berpeluh.
  • Berada di dalam rumah/bangunan
  • Hadkan aktiviti luar
  • Berehat dengan kerap
  • Mandi atau buka kipas angin untuk meyejukkan anda
  • Pakai pakaian yang ringan, berwarna-terang, dan longgar.
  • Pakai topi atau payung yang besar

Jangan/ tidak perlu

  • Minum minuman yang mengandungi kafein, alkohol, atau kandungan gula yang tinggi.
  • Membiarkan seseorang di dalam kereta yang bertutup.
  • Bersenam dalam cuaca panas

Apakah yang perlu saya lakukan jika saya mempunyai tanda-tanda masalah berkaitan dengan suhu panas?

Ingat tip–tip di bawah;

  • Keluar dari kawasan yang panas
  • Tanggalkan pakaian yang ketat
  • Letakkan kain yang basah dan sejuk pada badan
  • Gunakan kipas untuk sejukkan badan
  • Minum air setiap 15 minit
  • Dapatkan bantuan jika keadaan tidak dapat dikawal

Apakah perlu dilakukan jika saya menghadapi kekejangan otot?

  • Keluar dari kawasan yang panas
  • Meregangkan otot-otot yang terlibat
  • Letakkan bungkusan ais/air batu
  • Minum air setiap 15 minit
  • Hindari aktiviti fizikal yang lasak untuk hari tersebut

Dapatkan nasihat perubatan dengan segera jika anda mengalami tanda-tanda amaran seperti di bawah:

  • Panas, kulit kering, tetapi tidak berpeluh
  • Kekeliruan/kebingungan
  • Kerap muntah
  • Susah bernafas

Siapakah yang perlu saya rujuk?

Keterangan lanjut boleh diperolehi dari doktor di;

Unit Kesihatan Alam Sekitar
Bahagian Kawalan Penyakit
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel: 03-88836481

http:/www.lapdonline.org/bldg_safer_comms/prevention/hot.htm

http://familydoctor.org/088.xml

http://www.parasolemt.com.au/Manual/environmentconditions.asp

 

 

Isu atau masalah kesihatan mental serta tekanan emosi antara isu kesihatan awam yang menjadi semakin penting terutamanya

selepas pandemik COVID-19. Hal ini dibuktikan apabila masalah kesihatan mental menunjukkan trend peningkatan dengan

statistik individu yang mendapatkan sokongan menerusi Talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial (MHPSS) iaitu

inisiatif di bawah Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meningkat

lima (5) kali ganda bagi tahun 2022 berbanding tahun 2020 (Sumber: Berita Harian, Oktober 10, 2022).

Berikut dikongsikan tips penjagaan kesihatan mental yang boleh diamalkan:

  • 1: Makan makanan berkhasiat 

  • 2: Urus masa dengan baik

  • 3: Kongsi perasaan dengan orang yang dipercayai

  • 4: Lakukan aktiviti yang anda suka atau minat dan bermanfaat

  • 5: Sentiasa berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan

  • 6: Lakukan aktiviti fizikal atau senaman, berjalan dan beriadah

  • 7: Elak pengambilan rokok, dadah dan alkohol

kredit : KKM

 

Kepentingan saringan kesihatan secara berkala.

 

credit MPC

 

PENJAGAAN KESIHATAN KETIKA BENCANA BANJIR DAN PANDEMIK COVID-19

Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh di Malaysia dijangka bermula pada 3 November 2021 dan berterusan sehingga bulan Mac 2022 berdasarkan satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia pada 1 November 2021. Dalam tempoh ini, empat (4) hingga enam (6) episod hujan lebat dijangka akan berlaku menjadikan kebarangkalian untuk bencana banjir terjadi adalah tinggi. Namun, bencana banjir yang berlaku semasa pandemik COVID-19 pasti akan memberi cabaran tersendiri kepada mangsa banjir dan semua agensi yang bertanggungjawab untuk menguruskan mangsa-mangsa tersebut.

Bagi menghadapi cabaran ‘bencana dalam bencana’ ini, KKM dan agensi peneraju utama iaitu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah mengeluarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) sebagai panduan kepada semua agensi yang terlibat semasa bencana banjir. Kedua-dua panduan ini boleh dicapai di laman sesawang agensi masing-masing:

  1. Garis Panduan Pencegahan dan Pengurusan COVID-19 di Pusat Pemindahan Sementara Mangsa Bencana (KKM); dan
  2. SOP Pengurusan Bencana dan Pergerakan Agensi Tindak Balas (Responder), Mencari dan Menyelamat (SAR), dan Badan-Badan Sukarela Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2021 (NADMA).

Di samping itu, amalan norma baharu juga perlu dipraktikkan sepanjang masa dari proses menyelamat dan memindahkan mangsa sehinggalah mereka ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Mangsa banjir akan disaring terlebih dahulu untuk sebarang gejala dan faktor risiko COVID-19 sebelum dibenarkan masuk ke PPS. Mangsa yang bergejala pula akan diwajibkan untuk melakukan ujian saringan COVID-19 untuk mengelakkan berlakunya kejadian kluster COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir di PPS.

Mangsa banjir yang bergejala, berisiko, atau positif COVID-19 akan diasingkan bagi mengelakkan penularan kepada mangsa banjir yang lain. Penempatan mangsa banjir semasa pandemik COVID-19 adalah seperti berikut:

  • Kes positif COVID-19 akan diisolasi di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) atau PPS Khas, atau dirujuk hospital mengikut keperluan;
  • Kontak rapat atau Patient Under Surveillance (PUS) akan dikuarantin di PPS Khas atau PPS yang sama tetapi berlainan blok; dan
  • Mangsa bergejala (tetapi negatif ujian saringan COVID-19) perlu dikuarantin.

Mangsa banjir hendaklah sentiasa memberi kerjasama kepada agensi tindak balas terutamanya dalam aspek pematuhan kepada SOP dan amalan norma baharu sepanjang tempoh berada di PPS:

  • Sentiasa memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal;
  • Elakkan dari berkumpul beramai-ramai; dan
  • Sentiasa mencuci tangan menggunakan sabun atau hand sanitizer terutamanya apabila pergi ke tempat gunasama seperti tandas.

Bagi golongan berisiko tinggi seperti wanita mengandung, warga tua, serta mereka yang mengidap penyakit kronik, perancangan yang teliti perlu dibuat untuk berpindah lebih awal supaya hubungan untuk mendapatkan rawatan susulan tidak terputus. Pastikan bekalan ubat adalah mencukupi dan disimpan di tempat yang selamat bagi mengelakkan ia rosak akibat air banjir. Sekiranya bekalan ubat terputus atau rosak disebabkan banjir, perihal tersebut perlu segera dimaklumkan kepada pasukan perubatan yang sedia ada.

Selain itu, orang ramai juga perlu peka dengan arahan semasa dari pihak berkuasa dan sentiasa mengambil langkah-langkah penjagaan kesihatan kendiri seperti berikut bagi mencegah penyakit-penyakit lain yang sering terjadi semasa musim banjir:

  • Elak bermain dengan air banjir terutamanya jika mempunyai luka atau masalah kulit bagi mengelakkan risiko jangkitan kuman penyakit Leptospirosis (jangkitan kuman kencing tikus) dan Melioidosis yang ditularkan melalui air banjir yang tercemar;
  • Gunakan alat pelindung diri seperti kasut dan sarung tangan getah semasa aktiviti pembersihan terutamanya jika melibatkan banjir lumpur;
  • Pastikan sumber air minuman telah dimasak dan makanan yang digunakan adalah bersih bagi mengelakkan kejadian penyakit bawaan air dan makanan seperti Keracunan Makanan, Kolera, Tifoid, Hepatitis A, dan Acute Gastroenteritis (AGE);
  • Sentiasa amalkan penjagaan kebersihan diri iaitu membasuh tangan dengan sabun dan air yang bersih sebelum menyediakan makanan, sebelum makan, selepas ke tandas, selepas membuat aktiviti pembersihan, dan selepas menyentuh barang-barang yang dicemari oleh air banjir atau kumbahan (sewage);
  • Sentiasa menjaga kebersihan persekitaran kerana pembuangan sampah di merata tempat akan mendatangkan risiko penyakit pembiakan vektor.
  • Semasa banjir, bekas-bekas air yang bertakung akan menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes dan Anopheles. Ini boleh menyebabkan populasi nyamuk bertambah dan meningkatkan penyebaran penyakit bawaan nyamuk seperti Demam Denggi, Chikungunya dan Malaria;
  • Sekiranya bekalan elektrik terputus, pastikan bekalan makanan yang disimpan di dalam peti sejuk tidak rosak sebelum dimasak. Elakkan mengambil makanan yang terdedah kepada:
    • 1. Air banjir;
    •     yang berada pada suhu bilik melebihi 4 jam; atau
    •     ada perubahan rasa, bau, atau tesktur.
  • 2. Awasi risiko renjatan elektrik sekiranya rumah dinaiki air serta elakkan penggunaan soket elektrik yang terdedah kepada air banjir sebelum ianya          dipastikan selamat dan sila dapatkan rawatan segera dari pasukan perubatan di PPS atau fasiliti kesihatan yang berhampiran jika anda mengalami       sebarang gejala penyakit seperti demam, sakit perut, muntah, cirit-birit, batuk, dan sebagainya.

Sehubungan dengan itu, KKM ingin menasihatkan orang ramai yang tinggal di kawasan yang berisiko tinggi untuk mengalami banjir agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak yang berwajib, khususnya keperluan untuk berpindah segera bagi mengelakkan berlakunya kemalangan dan kehilangan jiwa.

Di samping itu, amatlah penting bagi semua penghuni PPS untuk mengamalkan sikap bertoleransi, saling membantu, dan hormat-menghormati bagi mengelakkan ketegangan atau tekanan dalam kalangan penghuni. Kerjasama dari semua pihak termasuk pasukan responder, mangsa banjir, dan orang ramai adalah sangat penting untuk memastikan bencana dan pandemik ini dapat ditangani dengan baik kerana sifat muafakat sentiasa membawa berkat.