PENJAGAAN KESIHATAN KETIKA BENCANA BANJIR DAN PANDEMIK COVID-19

Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh di Malaysia dijangka bermula pada 3 November 2021 dan berterusan sehingga bulan Mac 2022 berdasarkan satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia pada 1 November 2021. Dalam tempoh ini, empat (4) hingga enam (6) episod hujan lebat dijangka akan berlaku menjadikan kebarangkalian untuk bencana banjir terjadi adalah tinggi. Namun, bencana banjir yang berlaku semasa pandemik COVID-19 pasti akan memberi cabaran tersendiri kepada mangsa banjir dan semua agensi yang bertanggungjawab untuk menguruskan mangsa-mangsa tersebut.

Bagi menghadapi cabaran ‘bencana dalam bencana’ ini, KKM dan agensi peneraju utama iaitu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah mengeluarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) sebagai panduan kepada semua agensi yang terlibat semasa bencana banjir. Kedua-dua panduan ini boleh dicapai di laman sesawang agensi masing-masing:

  1. Garis Panduan Pencegahan dan Pengurusan COVID-19 di Pusat Pemindahan Sementara Mangsa Bencana (KKM); dan
  2. SOP Pengurusan Bencana dan Pergerakan Agensi Tindak Balas (Responder), Mencari dan Menyelamat (SAR), dan Badan-Badan Sukarela Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2021 (NADMA).

Di samping itu, amalan norma baharu juga perlu dipraktikkan sepanjang masa dari proses menyelamat dan memindahkan mangsa sehinggalah mereka ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Mangsa banjir akan disaring terlebih dahulu untuk sebarang gejala dan faktor risiko COVID-19 sebelum dibenarkan masuk ke PPS. Mangsa yang bergejala pula akan diwajibkan untuk melakukan ujian saringan COVID-19 untuk mengelakkan berlakunya kejadian kluster COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir di PPS.

Mangsa banjir yang bergejala, berisiko, atau positif COVID-19 akan diasingkan bagi mengelakkan penularan kepada mangsa banjir yang lain. Penempatan mangsa banjir semasa pandemik COVID-19 adalah seperti berikut:

  • Kes positif COVID-19 akan diisolasi di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) atau PPS Khas, atau dirujuk hospital mengikut keperluan;
  • Kontak rapat atau Patient Under Surveillance (PUS) akan dikuarantin di PPS Khas atau PPS yang sama tetapi berlainan blok; dan
  • Mangsa bergejala (tetapi negatif ujian saringan COVID-19) perlu dikuarantin.

Mangsa banjir hendaklah sentiasa memberi kerjasama kepada agensi tindak balas terutamanya dalam aspek pematuhan kepada SOP dan amalan norma baharu sepanjang tempoh berada di PPS:

  • Sentiasa memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal;
  • Elakkan dari berkumpul beramai-ramai; dan
  • Sentiasa mencuci tangan menggunakan sabun atau hand sanitizer terutamanya apabila pergi ke tempat gunasama seperti tandas.

Bagi golongan berisiko tinggi seperti wanita mengandung, warga tua, serta mereka yang mengidap penyakit kronik, perancangan yang teliti perlu dibuat untuk berpindah lebih awal supaya hubungan untuk mendapatkan rawatan susulan tidak terputus. Pastikan bekalan ubat adalah mencukupi dan disimpan di tempat yang selamat bagi mengelakkan ia rosak akibat air banjir. Sekiranya bekalan ubat terputus atau rosak disebabkan banjir, perihal tersebut perlu segera dimaklumkan kepada pasukan perubatan yang sedia ada.

Selain itu, orang ramai juga perlu peka dengan arahan semasa dari pihak berkuasa dan sentiasa mengambil langkah-langkah penjagaan kesihatan kendiri seperti berikut bagi mencegah penyakit-penyakit lain yang sering terjadi semasa musim banjir:

  • Elak bermain dengan air banjir terutamanya jika mempunyai luka atau masalah kulit bagi mengelakkan risiko jangkitan kuman penyakit Leptospirosis (jangkitan kuman kencing tikus) dan Melioidosis yang ditularkan melalui air banjir yang tercemar;
  • Gunakan alat pelindung diri seperti kasut dan sarung tangan getah semasa aktiviti pembersihan terutamanya jika melibatkan banjir lumpur;
  • Pastikan sumber air minuman telah dimasak dan makanan yang digunakan adalah bersih bagi mengelakkan kejadian penyakit bawaan air dan makanan seperti Keracunan Makanan, Kolera, Tifoid, Hepatitis A, dan Acute Gastroenteritis (AGE);
  • Sentiasa amalkan penjagaan kebersihan diri iaitu membasuh tangan dengan sabun dan air yang bersih sebelum menyediakan makanan, sebelum makan, selepas ke tandas, selepas membuat aktiviti pembersihan, dan selepas menyentuh barang-barang yang dicemari oleh air banjir atau kumbahan (sewage);
  • Sentiasa menjaga kebersihan persekitaran kerana pembuangan sampah di merata tempat akan mendatangkan risiko penyakit pembiakan vektor.
  • Semasa banjir, bekas-bekas air yang bertakung akan menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes dan Anopheles. Ini boleh menyebabkan populasi nyamuk bertambah dan meningkatkan penyebaran penyakit bawaan nyamuk seperti Demam Denggi, Chikungunya dan Malaria;
  • Sekiranya bekalan elektrik terputus, pastikan bekalan makanan yang disimpan di dalam peti sejuk tidak rosak sebelum dimasak. Elakkan mengambil makanan yang terdedah kepada:
    • 1. Air banjir;
    •     yang berada pada suhu bilik melebihi 4 jam; atau
    •     ada perubahan rasa, bau, atau tesktur.
  • 2. Awasi risiko renjatan elektrik sekiranya rumah dinaiki air serta elakkan penggunaan soket elektrik yang terdedah kepada air banjir sebelum ianya          dipastikan selamat dan sila dapatkan rawatan segera dari pasukan perubatan di PPS atau fasiliti kesihatan yang berhampiran jika anda mengalami       sebarang gejala penyakit seperti demam, sakit perut, muntah, cirit-birit, batuk, dan sebagainya.

Sehubungan dengan itu, KKM ingin menasihatkan orang ramai yang tinggal di kawasan yang berisiko tinggi untuk mengalami banjir agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak yang berwajib, khususnya keperluan untuk berpindah segera bagi mengelakkan berlakunya kemalangan dan kehilangan jiwa.

Di samping itu, amatlah penting bagi semua penghuni PPS untuk mengamalkan sikap bertoleransi, saling membantu, dan hormat-menghormati bagi mengelakkan ketegangan atau tekanan dalam kalangan penghuni. Kerjasama dari semua pihak termasuk pasukan responder, mangsa banjir, dan orang ramai adalah sangat penting untuk memastikan bencana dan pandemik ini dapat ditangani dengan baik kerana sifat muafakat sentiasa membawa berkat.